Bidaah/bid’ah/bidah/antibidaah

Bidaah/bid’ah/bidah/antibidaah (Sederhana dalam ibadah lebih baik daripada bersungguh-sungguh dalam bidaah)

Posts Tagged ‘dalalah’

Bidaah Hasanah Istilah Yang disalah Fahami

Posted by admin di 6 September 2009

Ebuku bidaah hasanah istilah yang disalah fahami.

Video Bidaah Hasanah Istilah Yang disalah Fahami:

Posted in 1 | Di tag: , , , , , , , , , | Leave a Comment »

Hukum Selawat Syifa

Posted by admin di 15 Ogos 2008

Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis sebulat suara membuat keputusan seperti berikut: Selawat adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh syarak, namun selawat syifa’ yang diamalkan oleh sebahagian anggota masyarakat telah didapati tidak bersumberkan daripada apa-apa sumber Islam yang muktabar iaitu nas-nas al-Quran atau as- Sunnah. Bahkan kandungan selawat ini amat mengelirukan dan bercanggah dengan prinsip-prinsip aqidah Islam kerana memberikan unsur-unsur ketuhanan kepada baginda ar-Rasul saw. Adapun andaian-andaian sesetengah pihak dalam membela maksud selawat tersebut tidak dapat diterima dari segi ilmiahnya.

Fatwa Bil : 2/2007

Kertas kerja ini dikemukakan untuk melapor dan mendapatkan perakuan Majlis mengenai keputusan mesyuarat Jawatankuasa Syariah yang bersidang pada 29 Januari 2007

MENILAI SELAWAT SYIFA’

Oleh: Dr.Azwira Abdul Aziz, Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita sememangnya sangat dituntut supaya berselawat ke atas baginda, sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya”. ( Al-Ahzab, 33: 56 )

Tidak diragukan lagi bahawa lafaz selawat yang terbaik ialah apa yang dikenali sebagai Selawat Ibrahimiyyah yang diajar oleh Nabi s.a.w kepada para Sahabat dan yang diriwayatkan melalui jalan sanad yang sahih oleh perawi-perawi thiqah serta dijadikan sebagai lafaz selawat dalam solat (sebelum salam). Dalam konteks ini, Imam As-Sayuti berkata:

“Aku telah membaca keterangan Imam As-Subki dalam kitab At-Tabaqat yang diterimanya daripada ayahnya, bahawa sebaik-baik selawat yang dibaca ketika berselawat ialah selawat yang dibaca di dalam solat ketika tasyahhud, iaitu yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Maka sesiapa yang membacanya dia dilihat sebagai telah berselawat dengan sempurna dan sesiapa yang membaca  selainnya, maka mereka tetap berada dalam keraguan, kerana bentuk-bentuk  selawat yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim itu adalah yang sering diajar  oleh Nabi s.a.w. sendiri dan yang sering disuruh supaya kita membacanya”.

( As-Suyuti, Abd Ar-Rahman Ibn Abi Bakr, Al-Hirz Al-Mani, Dalam Prof. Dr. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy, 1987,  Pedoman Zikir Dan Doa, Thinkers Library, Malaysia, hal: 91 )

Keraguan Selawat Syifa’

Antara lafaz selawat yang meragukan ialah yang dikenali sebagai Selawat Syifa’. Selawat ini pada mulanya telah terbudaya di kalangan masyarakat Islam di Malaysia sebagai bacaan eksklusif dan peribadi, tetapi kelihatan menjadi semakin popular sehingga ada yang menjadikannya zikir dan doa selepas solat fardu atau sebagai pembuka ucapan secara tekal. Lafaz selawat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

Maksudnya: “Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati dan pengubatnya (hati), penyihat badan dan penyembuhnya (badan),     pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan Sahabat Baginda serta berkati dan sejahterakanlah”  .

( Prof. Dr. Harun Din & Dr. Amran Kasimin, 1990, Rawatan Pesakit Menurut Al-Quran Dan As-Sunnah,    Percetakan Watan, Kuala Lumpur, Malaysia, hal: 32 (tanpa terjemahan )

Mengikut kaedah irab (parsing) bahasa Arab, perkataan tibb yang bermaksud ‘perawat’ itu berada pada kedudukan sifat (adjective noun) atau badal (gantinama/noun in apposition) bagi perkataan Muhammad (ism alam/proper name). Disebabkan kedudukan itu, maka berlaku persamaan antara kedua-dua perkataan tibb dan Muhammad dari segi kasrah (berbaris bawah). Pada kebiasaannya penyifatan atau pembadalan ism alam dilakukan dengan menggunakan ism fa’il (kata pembuat/present participle) atau ism maf’ul (kata kena buat/past participle), tetapi kaedah bahasa Arab membenarkan juga penggunaan ism masdar (katanama terbitan/root noun) sebagai sifat atau badal bagi menunjukkan makna mubalaghah atau bersangatan.

( Khalid Ibn Abd Al-Azhari, t.th, Sharh At-Tasrih Ala At-Taudih (Sharh Alfiah Ibn Malik), Dar Al-Fikr,      Beirut, Lubnan, 2: 110-111 )

Justeru, meskipun perkataan tibb itu pada asalnya adalah ism masdar yang bermaksud ‘rawatan’, namun dalam konteks kedudukannya sebagai sifat atau badal, maka ia dilihat sebagai Sighah Mubalaghah (Kata melampau) yang membawa konsekuensi maksud ‘penawar yang sangat mujarab’.

Manakala perkataan-perkataan dawa’, ‘afiah, syifa’, nur, dan diya’, semuanya berada pada kedudukan ‘ataf (penyambung/join) bagi perkataan tibb yang berada pada kedudukan matuf (yang disambung). Kaedah bahasa Arab juga telah menetapkan bahawa sesuatu ‘ataf itu mesti mengikut matufnya dalam setiap keadaan, jika matufnya berada pada kedudukan sifat, maka ‘ataf itu juga berada pada kedudukan sifat dan jika matufnya berada pada kedudukan badal, maka ‘ataf itu juga berada pada kedudukan badal. Ini bermakna kesemua perkataan tersebut membawa pengertian sifat atau badal bagi Muhammad sebagaimana perkataan tibb itu juga.

Maka perkataan dawa’ itu membawa maksud ‘pengubat yang sangat berkesan’, perkataan afiah bermaksud ‘penyihat yang sangat menyihat’, perkataan syifa’ difahami dengan maksud ‘penyembuh yang sangat menyembuh’, perkataan nur difahami dengan maksud ‘pemberi cahaya’ dan perkataan diya’ difahami dengan maksud ‘pemancar cahaya’. Berdasarkan kedudukan dan kaedah bahasa ini, maka terjemahan bagi keseluruhan lafaz selawat itu adalah seperti berikut:

“Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati yang sangat mujarab, pengubatnya yang sangat berkesan, penyihat badan yang sangat menyihat, penyembuhnya yang sangat menyembuh, pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya juga ke atas ahli keluarga dan Sahabat Baginda serta berkati dan sejahterakanlah”.

Terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan i’rab ini seolah-olah telah menyifatkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat Maha Perawat, Maha Pengubat, Maha Penyihat, Maha Penyembuh, Maha Pemberi cahaya dan Maha Pemancarnya. Persoalannya, apakah harus menyifatkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat sedemikian, sedangkan ia adalah sifat-sifat khusus bagi Allah S.W.T. yang tidak boleh dikongsi oleh sebarang makhluk? Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat-sifat tersebut?

Prinsip ilmu Tauhid telah menetapkan bahawa Allah SWT itu Maha Esa dan wajib diEsakan pada Sifat-SifatNya sebagaimana Dia juga wajib diEsakan pada Rububiyyah dan UluhiyyahNya. ( Muhammad Ibn Salih Al-cUthaimin, 2004, Aqidah Ahl As-Sunnah Wa Al-Jamaah, Ter: Muhammad  Yusuf Harun )

Nama-Nama dan Sifat-Sifat yang khusus bagi Allah SWT tidak boleh dikongsi dengan sebarang makhluk kerana perkongsian itu bermakna mensyirikkan (menyengutukan) sifat makhluk dengan sifat Al-Khaliq ( Said Ibn Ali al-Qahtani 1411 H, Syarh Asma’ Allah al-Husna Fi Dau’ al-Kitab Wa as-Sunnah, Wazarah  al-Ilam, Riyadh, Arab Saudi,  hal: 51. )

Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya: “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”

( As-Syura : 11 )

Allah S.W.T. juga berfirman:

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, maka Dialah (Allah S.W.T) yang         menyembuhkan penyakitku”( al-Syu’araa’ : 80 )

Dalam sebuah hadith Baginda s.a.w. mengajar umatnya agar membaca doa berikut:

Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan sekelian manusia, Maha Penghilang segala penyakit, sembuhkanlah! Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan Engkau dan tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan Engkau. (Sembuhkanlah) Dengan suatu sembuhan yang tidak meninggalkan penyakit sedikitpun”. { Lafaz ini adalah gabungan lafaz riwayat Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, 1987, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, No: 5351, 5410, 5411 dan 5418. }

Ungkapan: “Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan Engkau”, jelas menunjukkan bahawa sifat penyembuh itu adalah sifat khusus bagi Allah S.W.T. yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk. Struktur ayat yang mengandungi nafy (penapian) dengan huruf nafy (La) dan diikuti oleh ithbat (penetapan) dengan huruf Istithna’ (Illa) memberi konsekuensi penafian dan penetapan yang kuat, sama seperti ungkapan kalimah Tauhid La Ilaha Illallah yang menafikan segala tuhan selain Allah dan menetapkan ketuhanan itu padaNya semata-mata.

Dengan perkataan lain, doa yang diajarkan oleh Nabi SAW ini menafikan sifat penyembuh bagi selain dari Allah S.W.T dan menetapkan sifat itu padaNya semata-mata, sedangkan lafaz Selawat Syifa’ itu pula menetapkan sifat penyembuh itu pada Baginda s.a.w. Justeru, lafaz Selawat Syifa’ itu dilihat mengandungi unsur-unsur syirik yang jelas bercanggah dengan prinsip Tauhid Al-Asma’ Wa As-Sifat.

Kekeliruan Dan Jawapan

1)         Ada yang berpendapat masih ada jalan untuk lari daripada maksud penyamaan sifat itu dengan cara mentaqdirkan (mengandaikan) wujudnya perkataan solat antara perkataan Muhammad dan perkataan tibb. Mengikut andaian ini, maka lafaz selawat itu berubah menjadi seperti berikut:

Dalam lafaz ini, perkataan solat itu berada pada kedudukan maf

ul mutlak (kata kena buat mutlak) yang berfungsi sebagai penguat atau penentu bagi jenis kata kerja salli (selawatkanlah), di samping ia juga berada pada kedudukan mudhaf (yang disandarkan) kepada perkataan tibb.

Berdasarkan kedudukan ini, maka lafaz selawat yang diandaikan itu difahami dengan maksud:

“Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, dengan suatu selawat yang boleh menjadi rawatan bagi hati dan yang boleh menjadi ubat baginya (hati)…sehingga akhir”.

Berdasarkan maksud ini, maka tidak berlaku lagi apa yang dikatakan sebagai penyifatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat Allah S.W.T, kerana yang dilihat memberi khasiat perubatan bukan lagi zat Nabi Muhammad s.a.w, tetapi selawat yang diucapkan itu. Oleh kerana membaca selawat itu adalah sejenis amal salih, maka ia termasuk dalam jenis tawassul dengan amal salih yang disyariatkan oleh syara Dengan maksud ini, maka penyamaan sifat yang dipersoalkan itu tidak berlaku kerana memang tidak ada penyifatan Nabi Muhammad s.a.w dengan sifat penyembuh.

Jawapan:

Pertama: Sayugia diingatkan bahawa sesuatu ungkapan yang mengelirukan itu hanya perlu kepada takdir lughawi (andaian bahasa) bagi mengelakkan kekeliruan, sekiranya ia memang merupakan nas syara yang sahih dari Al-Quran atau pun As-Sunnah. Adapun ungkapan yang bukan dari Al-Quran atau pun As-Sunnah (seperti lafaz Selawat Syifa’), maka ia tak perlu kepada takdir lughawi (andaian bahasa) kerana asal usulnya adalah lemah, dan kerana kelemahan itu maka tidak perlu bersusah payah difikirkan andaian bahasa untuknya.

Kedua: Jika diandaikan masih ada kewajaran untuk membuat takdir lughawi bagi lafaz selawat itu dengan alasan kerana ia dicipta dan diamalkan oleh sebahagian ulama, maka perlu ditegaskan bahawa sebarang andaian bahasa mesti disokong oleh kaedah bahasa yang mantap. Mengikut kaedah bahasa Arab, jika perkataan maful mutlak hendak dihazaf (dibuang), maka perkataan yang menggantikan tempatnya mesti dibaca dengan fathah (baris atas) ( Muhammad Abd Al-Aziz An-Najjar, 1981, Diya’ As-Salik Ila Audah Al-Masalik Li Ibn Hisyam, Kaherah, Mesir, 2: 127-129. )

Dalam hal ini, jika diandaikan berlaku penghazafan (pembuangan) perkataan solat, maka perkataan tibb yang berada pada kedudukan ‘pengganti’ bagi perkataan solat itu mesti dibaca dengan fathah (baris atas). Oleh kerana perkataan tibb yang terdapat dalam lafaz asal Selawat Syifa’ (sebelum dibuat andaian) dibaca dengan kasrah (baris bawah), maka itu menunjukkan bahawa tidak berlaku sebarang penggantian antara perkataan tersebut dengan perkataan lain. Justeru, andaian kononnya ada perkataan solat sebelum perkataan tibb tidak boleh diterima kerana ia jelas menyalahi kaedah bahasa.

2)         Mungkin ada yang berkata bahawa perkongsian sesuatu sifat antara Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, kerana persamaan nama sifat tidak semestinya menggambarkan persamaan hakikat sifat berkenaan. Dengan perkataan lain, jika berlaku perkongsian beberapa sifat seperti sifat hidup, mendengar, melihat dan sebagainya antara Allah dan makhluk maka ia mesti difahami dalam konteks yang berbeza, bersesuaian dengan zat masing-masing. Jika sifat Maha Hidup, Maha Mendengar dan Maha Melihat Allah S.W.T boleh difahami dalam konteks yang berbeza dengan sifat hidup, mendengar dan melihat makhluk, maka sifat Maha PenyembuhNya juga boleh difahami dalam konteks yang berbeza antara kedua-duanya.

Jawapan

Pertama: Memang diakui bahawa perkongsian sesuatu sifat antara Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, seperti yang berlaku pada sifat hidup, mendengar, melihat, bercakap dan sebagainya. Tetapi persoalannya di sini, sifat ‘penyembuh’ yang diberikan kepada Nabi s.a.w. itu diungkap melalui gaya bahasa yang mengandungi unsur mubalaghah (bersangatan). Maka itu, bagaimanakah sifat ‘Maha Penyembuh’ yang diberikan kepada Nabi s.a.w. itu boleh difahami dengan maksud yang tidak menimbulkan kesyirikan dengan sifat Maha Penyembuh Allah S.W.T?

Kedua: Bagaimana hendak digambarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. yang telah wafat boleh berfungsi sebagai Maha Perawat, Maha Pengubat, Maha Penyihat dan Maha Penyembuh kepada orang yang masih hidup?

3)         Mungkin ada yang mengatakan bahawa orang yang mengamalkan selawat ini tidak bermaksud menyengutukan sifat Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat Allah S.W.T, kerana kebanyakan yang mengamalnya tidak memahami maknanya, atau memahaminya dalam konteks yang tidak ada unsur tasybih.

Jawapan

Pertama: Alangkah mujurnya jika keadaan si pengamal selawat itu benar-benar seperti yang diandaikan, tetapi adakah realiti mereka sedemikian? Ramai yang cuba berbaik sangka dengan semua amalan umat Islam, lalu mereka rasa tidak perlu untuk menjelaskan kekeliruan mereka. Di sini, perlu ada kesedaran bahawa perkara aqidah tidak boleh diambil mudah atau didiamkan begitu sahaja dan sikap berbaik sangka perlu ada had sempadannya. Jika dipakai alasan berbaik sangka dalam hal sebegini maka bermakna kita terpaksa biarkan semua ajaran sesat, khurafat dan bidah dengan alasan yang sama. Jika alasan berbaik sangka itu boleh diterima dalam persoalan aqidah, maka kenapa perlu digezetkan ajaran Wahdatul Wujud, Martabat Tujuh, Hakikat Nur Muhammad dan lain-lain sebagai sesat? ( Kesesatan fahaman-fahaman seumpama ini telah dijelaskan oleh pihak berwajib. Lihat: Mustafa Abdul   Rahman, 2000, Mengenal Ajaran Sesat Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala  Lumpur, hal: 3-7.)

Kedua: Dalam kes akidah seumpama ini, bukankah wajar digunakan kaedah sad az-zarai'(menutup pintu-pintu kemudaratan) sebagai langkah berwaspada terhadap keselamatan akidah masyarakat Islam? Nabi s.a.w bersabda :

Maksudnya: “Jangan kamu melampau memuji aku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuji Isa Ibn Maryam A.S. Aku hanyalah seorang hamba Allah, maka katakanlah: seorang hamba dan pesuruh Allah.

( Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, 1987, Beirut, 3: 1271,     No: 3261. )

Dalam hadith ini, Baginda s.a.w. melarang para Sahabat r.a. memujanya sebagaimana golongan Nasrani memuja Nabi Isa a.s., sebaliknya Baginda menyuruh mereka berpada setakat menyatakan statusnya sebagai seorang hamba dan rasul sahaja. Larangan Nabi s.a.w. itu termasuk dalam kaedah Sad Az-Zarai kerana kita sedia maklum bahawa cara para Sahabat r.a. memuji baginda tidaklah sampai ke tahap menyamakan sifat baginda dengan sifat Allah S.W.T, sebagaimana cara pemujaan kaum Nasrani terhadap Nabi Isa a.s. Tetapi Baginda s.a.w. tetap melarangnya kerana bimbang sekiranya perbuatan itu akan membawa kepada kesyirikan dan kekufuran tanpa disedari, sepertimana yang berlaku kepada golongan Nasrani. Pendekatan Nabi s.a.w. melarang para Sahabat r.a. daripada memujinya secara berlebihan adalah antara contoh paling tepat yang menunjukkan keperluan mengaplikasikan kaedah Sad Az-Zarai dalam menangani persoalan akidah.

Dalam konteks Selawat Syifa’  itu, kaedah bahasa telah menunjukkan bahawa zahir maknanya telah menyifatkan Nabi s.a.w. melebihi sifat kehambaan dan kerasulan. Justeru, jika diandaikan ada ‘takwilan kecemasan’ bagi mengelakkan tasybih (penyamaan sifat Allah dengan makhluk), namun kebimbangan terhadap keselamatan aqidah para pengamalnya masih tetap wujud, Jika Baginda s.a.w. masih menaruh kebimbangan terhadap keselamatan aqidah para Sahabat r.a. yang telah sedia mantap itu, maka sangat wajar untuk kita merasa bimbang terhadap keselamatan aqidah masyarakat Islam hari ini yang memang sedia lemah. Bukankah kes seumpama ini menuntut kita memakai kaedah Sad-Az-Zariah sebagaimana Nabi SAW memakainya? Wallahualam.

Posted in 1 | Di tag: , , , , , , , , , | 1 Comment »

Bantahan pembahagian bidaah

Posted by admin di 11 Jun 2008

Bantahan pembahagian bidaah

“Segala perbuatan yang diada-adakan di masa sesudah Nabi s.a.w, samada yang ada dalilnya mahupun yang tidak ada dalilnya, dinamakan bidaah. Yang ada dalilnya mereka namakan bidaah hasanah, dan yang tidak ada dalilnya mereka namakan bidaah sayyiah atau bidaah qabihah.”

Pembahagian bidaah menjadi lima bahagian hukum syarak iaitu wajib, sunat, mubah, haram dan makruh. Jika ada suatu bidaah termasuk dalam kaedah wajib dinamakan bidaah wajib, jika ada suatu bidaah termasuk dalam kaedah mandub, dinamakan bidaah yang mandub, jika ada suatu bidaah termasuk dalam kaedah mubah, dinamakan bidaah yang mubah, jika ada suatu bidaah termasuk dalam kaedah haram, dinamakan bidaah yang haram, jika ada suatu bidaah termasuk dalam kaedah makruh, dinamakan bidaah yang makruh.

Pembahagian bidaah menjadi lima bahagian sebagaimana hukum syarak itu tidak ada dalilnya sedikitpun dari syarak. Jika bidaah dalam agama itu seperti hukum syarak, bererti bidaah itu mempunyai ketentuan hukum dan tiap-tiap yang mempunyai ketentuan hukum bukan bidaah lagi namanya. Pengumpulan bidaah adalah dua perkara yang bertentangan antara yang satu dengan yang lain.

Bantahan pembahagian bidaah wajibah

Perbuatan yang dikehendaki itu adalah maslahat mursalah. Contohnya pengumpulan ayat-ayat al-Quran dan membukukannya menjadi sebuah mushaf, mewajibkan seluruh umat Islam supaya mengikut mushaf Al-imam, menyatukan pelbagai bacaan al-Quran agar tidak ada perselisihan lagi bagi umat Islam tentang bacaan dan juga termasuk urusan yang diperintahkan oleh agama dan sudah termasuk urusan yang dihukumkan wajib.

Pada zaman Nabi s.a.w, umat Islam telah diperintahkan agar mencatit, menulis ayat-ayat al-Quran dan Nabi s.a.w juga pernah memerintahkan supaya menuliskan sabdanya dan pernah pula baginda memerintahkan supaya orang yang mendengar sabda-sabdanya menyampaikannya kepada orang ramai yang tidak mendengarnya. Oleh itu, jelaslah bahawa tentang memelihara ayat-ayat al-Quran dan sebagainya itu telah diperintahkan oleh Nabi s.a.w, demikian pula mempelajari ilmu-ilmu bahasa Arab juga sudah termasuk perbuatan yang diperintahkan oleh Nabi s.a.w bukanlah menjadi perkara bidaah.

Bantahan pembahagian bidaah mandubah

Solat tarawikh pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan berjemaah bukanlah perkara bidaah tetapi sunnah kerana pernah dikerjakan oleh Nabi s.a.w. Baginda sendiri menjadi imam semasa itu dan para sahabat mengikut di belakang baginda. Baginda mengerjakannya tiga atau empat malam kerana bimbang sekiranya perbuatan tersebut diwajibkan oleh Allah kepada seluruh umat. Oleh itu, jelaslah bahawa solat tarawikh berjemaah di dalam masjid itu sunnah bukan bidaah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a.

Adapun Umar ra. ketika menganjurkan solat tarawikh berjemaah beliau berkata: “Sebagus-bagus bidaah itu ialah ini” adalah perkataan bidaah menurut bahasa bukan syarak. Oleh sebab sunnah ini telah lama ditinggalkan, beliau menyebutnya bidaah bermaksud menghidupkan semula sunnah yang sudah lama ditinggalkan. Solat tarawikh berjemaah itu telah disepakati pula oleh para sahabat Nabi s.a.w yang masih hidup pada masa itu bahkan sangat dipuji oleh para sahabat besar pada masa itu contohnya Ali ra. Pada hakikatnya, segala sesuatu yang dianjurkan oleh para sahabat Nabi s.a.w terutama para khalifah yang empat (Khulafa ar-Rasyidin) juga termasuk sunnah yang diperintahkan oleh Nabi s.a.w supaya kita mengikutinya.

Bantahan pembahagian bidaah mubahah

Makan di atas meja, makan dengan duduk di atas kerusi, makan dengan garpu dan sudu adalah mubah atau harus yang boleh dikerjakan dan boleh ditinggalkan. Jika sampai melebihi batas ketika makan, minum dan berpakaian mempunyai hukum yang melarang daripada melampaui batas.

Bantahan pembahagian bidaah muharramah dan

Bantahan pembahagian bidaah makruhah

Melantik atau menetapkan orang bodoh menjadi ketua agama, melantik orang yang kurang pemahaman tentang urusan hukum-hukum Rasul-Nya sebagai imam solat sedangkan ada orang yang lebih baik daripadanya. Maka, perbuatan tersebut jelas melanggar kaedah-kaedah agama yang sudah ada nasnya adalah termasuk perbuatan haram. Menentukan hari-hari tertentu dan lain-lain lagi dengan sesuatu jenis ibadah, mengadakan syariat agama menurut kemahuan sendiri adalah dilarang oleh syariat. Tiada sesiapa pun yang dibolehkan untuk mengadakan satu bentuk ibadah pada waktu tertentu atau mengadakan syiar agama menurut kemampuan sendiri. Perbuatan tersebut termasuk perbuatan yang dilarang dan orang yang mengerjakannya adalah bidaah. Bidaah yang dilarang dalam urusan agama ialah yang berkenaan urusan ‘aqaid dan ibadah.

Bantahan pembahagian bidaah hasanah

Penghujah bidaah hasanah

Hadis yang bermaksud: “Setiap bidaah itu sesat kecuali bidaah di dalam urusan beribadat.”

Bantahan bidaah hasanah

Hadis itu tidak termaktub dalam kitab-kitab hadis muktabar dan bertentangan pula dengan hadis sahih. Dalam isnadnya terdapat pendusta yang dilemahkan oleh ahli hadis dan hadis itu adalah palsu.

Penghujah bidaah hasanah

Hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengada-adakan satu cara yang baik di dalam Islam maka dia akan mendapat pahala orang yang turut mengerjakannya dengan tidak kurang sedikitpun dari pahala mereka itu dan barangsiapa yang mengadakan satu cara yang buruk, maka dia akan mendapat dosa dan orang yang turut mengerjakannya dengan tidak kurang sedikitpun dari dosa mereka itu.”

Bantahan bidaah hasanah

Pada satu pagi, para sahabat sedang berada di hadapan Rasulullah s.a.w. lalu datang serombongan manusia dengan telanjang serta memakai kain selimut yang bercorak dan berbaju panjang seraya berselimpang dengan pedang. Mereka adalah dari golongan Mudhar. Setelah Nabi s.a.w melihat mereka itu, maka pucatlah wajah baginda kerana melihat kesengsaraan mereka. Kemudian baginda masuk ke dalam rumah dan menyuruh Bilal supaya azan. Lantas Bilal pun azan dan beriqamat. Kemudian baginda sembahyang dan berkhutbah, sabda baginda:

‘Wahai manusia! Takutlah kamu kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu daripada jiwa yang satu, telah diciptakan ke atasnya jodoh, dan Ia telah mengembangkan daripada keduanya (jodoh) kepada beberapa kaum lelaki dan perempuan. Takutlah kamu kepada Allah, yang kamu meminta-minta dengan nama-Nya dan peliharalah keluarga-keluargamu kerana sesungguhnya Allah itu Pengawasmu.”

“Hai orang-orang yang telah beriman! Takutlah kamu kepada Allah dan hendaklah di antara kamu masing-masing memerhatikan apa-apa untuk esok.”

Sesudah itu ada orang ramai bersedekah dari dinarnya, dari dirhamnya, dari pakaiannya, satu sya’ dari gandumnya, satu sa’ dari buah-buahannya, sehingga baginda bersabda: “Sekalipun separuh dari sebutir kurmanya.” Lalu datang seorang lelaki dari golongan Ansar dengan membawa seguni beras, sehingga dua tapak tangannya hampir tidak boleh dibawanya dan tidak sanggup membawanya.

Kemudian banyak orang bergilir-gilir bersedekah kepada mereka sehingga nampak di wajah Rasulullah s.a.w. amat bercahaya kerana sungguh gembira. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang mengada-adakan satu cara yang baik di dalam Islam maka dia akan mendapat pahala dan pahala orang-orang yang mengerjakannya tidak kurang sedikitpun Barangsiapa yang mengadakan satu cara yang buruk, maka dia akan mendapat dosa dan dosa-dosa orang yang mengerjakannya dengan tidak kurang sedikitpun.”

Hadis tersebut pada mulanya jelas mengenai urusan keduniaan, mengenai urusan pertolongan yang diberi kepada orang yang menderita dan sengsara. Amalan bersedekah ini memang dituntut, bukannya mereka membuat sunnah sendiri.

Penghujah bidaah hasanah

Hadis yang bermaksud: “Apa-apa yang telah dipandang baik oleh orang Islam, maka ia baik di sisi Allah”

Bantahan bidaah hasanah

Hadis tersebut bukan hadis Nabi s.a.w, tetapi dari perkataan Ibnu Mas’ud ra. atau dari perkataan Ibnu Abbas ra.

Rangkaian atsar tersebut ada sambungannya:

“Sesungguhnya Allah telah memeriksa hati-hati para hamba, maka Dia telah memilih -dalam antara mereka – Muhammad, lalu Dia membangkitkan dia dengan risalah-Nya. Kemudian Allah memeriksa hati-hati para hamba, maka Dia telah memilih padanya (Muhammad) itu beberapa orang sahabat, lalu Dia menjadikannya beberapa wazir padanya. Maka apa-apa yang orang-orang Islam memandang baik, maka baiklah di sisi Allah, dan apa-apa yang orang-orang Islam memandang buruk, maka buruklah di sisi Allah.”

Kata Muslimin di dalam hadis itu tidak dipakai untuk seluruh umat Islam. Tetapi apa yang dimaksudkan dengan kata Muslim dalam hadis itu hanyalah para sahabat saja. Perlu diertikan begini:

“Segala sesuatu yang telah dipandang baik oleh para sahabat, maka Allah juga memandang baik, dan segala sesuatu yang dipandang buruk oleh para sahabat, maka Allah juga memandang buruk.”

Jika tidak diertikan begitu akan bertentangan dengan hadis yang menerangkan bahawa umat Islam akan berpecah-belah menjadi tujuh puluh tiga golongan.

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya”.

Penghujah bidaah hasanah

Pada zaman sahabat Nabi s.a.w telah terjadi satu bidaah di dalam urusan beribadat iaitu bertarawikh pada setiap malam bulan Ramadhan  dengan berjemaah dan dengan seorang imam di dalam sebuah masjid yang telah dianjurkan oleh Umar Ibnu Al-Khattab r.a. Perbuatan itu dinyatakan oleh beliau sendiri:

“Sebaik-baik bidaah ialah ini.”

Ketika itu semua sahabat Nabi s.a.w yang masih hidup tidak ada seorang daripada mereka yang membantah. Andaikata bidaah di dalam urusan beribadat itu dilarang dan dikatakan semuanya sesat, nescaya Umar tidak akan mengadakan solat tarawikh dengan berjemaah di masjid dan ketika itu sudah tentu ditegur oleh para sahabat yang lain.

Bantahan bidaah hasanah

Ini bukanlah bidaah tetapi sunnah yang pernah dikerjakan oleh Nabi s.a.w dan diikuti oleh para sahabatnya. Nabi bimbang bahawa solat tarawikh diwajibkan atas umatnya, maka baginda tidak meneruskan perbuatan menjemaahkan solat terawikh tersebut.

Apabila Nabi s.a.w. telah wafat, maka para sahabat mengulangi apa yang pernah dikerjakan pada zaman Nabi s.a.w. Kemudian, pada masa Khalifah Abu Bakar ra. belum timbul kemahuan menggerakkan kembali solat terawikh secara berjemaah. Mungkin pada masa itu beliau dan seluruh umat Islam sedang sibuk memerangi kaum murtad dan mungkin ada beberapa urusan lain yang harus diselesaikan dulu. Kemudian, pada masa Khalifah Umar bin Khattab ra. barulah beliau teringat kebaikan menjemaahkan solat tarawikh kembali sebagaimana dikerjakan pada zaman Nabi s.a.w. Perkataan: “Sebaik-baik bidaah ialah ini” bermaksud dari segi bahasa dan bermaksud menghidupkan kembali sunnah yang ditinggalkan.

Penghujah bidaah hasanah

Pada zaman Nabi s.a.w azan hari Jumaat hanya dilakukan sekali sahaja dan dilaungkan di ambang pintu masjid. Pada waktu itu imam sudah duduk di atas mimbar. Keadaan begini berlaku sehingga pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar. Kemudian setelah jatuh ke tangan pemerintahkan supaya ditambah, dilakukan dan dilaungkan di Zaura’ (sebuah tempat di tengah-tengah pasar kota Madinah dan sebuah rumah yang dikatakan demikian). Tindakan demikian diakui dan dibenarkan oleh semua sahabat Nabi di kota itu. Andaikata ia tidak diakui kebaikannya, sudah tentu tindakan Khalifah Uthman itu ditegur dan dibantah oleh para sahabat besar ketika itu.

Bantahan bidaah hasanah

Azan yang diperintahkan oleh Khalifah Uthman itu tidak keluar dari yang dimaksudkan oleh syarak dari azan itu iaitu untuk memberitahu telah dekatnya waktu solat.

  • Pada zaman Nabi s.a.w, zaman Khalifah Abu Bakar dan di zaman Khalifah Umar, hari Jumaat itu dimulakan dan dilakukan ketika imam telah duduk di atas mimbar.
  • Seruan hari Jumaat yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w sehingga pada zaman Umar itu hanya dua iaitu azan tadi dan iqamat sesudah imam selesai berkhutbah.
  • Biasanya Bilal azan pada hari Jumaat dengan berdiri di atas pintu masjid.
  • Sesudah imam selesai berkhutbah dan turun dari mimbar barulah Bilal beriqamat.

Kemudian, pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, azan pada hari Jumaat itu ditambah iaitu azan dan qamat yang berlaku di zaman Nabi sehingga pada zaman Umar itu tetap berlaku, tetapi dengan tambahan satu azan lagi yang dilakukan di atas satu tempat yang dinamakan Zaura’ dekat pasar Madinah dan cara melakukannya sebelum azan yang berlaku di zaman Nabi tadi. Maka dalam kitab-kitab hadis biasanya dikatakan bahawa azan yang ketiga atau seruan yang ketiga.

Tindakan Khalifah Uthman mengadakan azan itu tidak boleh dikatakan satu perbuatan bidaah dalam urusan ibadah kerana semasa itu beliau memandang perlunya diadakan azan pada hari Jumaat di atas Zaura’ untuk menarik minat dan perhatian orang ramai yang ada di pasar agar segera pergi ke masjid. Dalam pada itu, beliau tidak mengubah lafaz-lafaz azan dan bukan pula azan itu untuk sesuatu tujuan yang tidak dimaksudkan oleh syara’. Oleh itu, tidak boleh dikatakan azan yang beliau kerjakan itu suatu perbuatan bidaah dalam ijtihad yang dilakukan oleh seseorang khalifah dan beliau termasuk daripada salah seorang Khulafa Ar-Rasyidin, padahal Nabi s.a.w memerintahkan kita agar mengikut sunnah para Khulafa Ar-Rasyidin.

Meskipun begitu, menurut suatu riwayat yang tidak dikenalpasti dari Ibnu Umar:

“Azan yang pertama pada hari Jumaat itu bidaah.”

Jika perkataan ini benar, bererti tambahan azan itu tidak dipersetujui sahabat Nabi. Imam ‘Atha sendiri mengingkari azan tambahan pada hari Jumaat itu diadakan oleh Uthman. Dia mengatakan bahawa yang mengadakannya ialah Muawiyah. Oleh itu, imam As-Syafie berkata dalam kitabnya Al-Umm:

“Dan mana di antara keduanya yang ada, maka urusan yang terjadi pada masa Rasulullah s.a.w. itu yang lebih aku sukai.”

Perkataan imam as-Syafie lebih megandungi erti bahawa dalam urusan ibadah tidak ada bidaah hasanah.

Penghujah bidaah hasanah

Dengan keterangan tadi, jelaslah yang dikehendaki oleh hadis Nabi s.a.w, “Setiap bidaah itu sesat,” tidak bersifat umum. Kata kullu di sini bererti sebahagian, “Sebahagian bidaah itu sesat.”

Bantahan bidaah hasanah

Hadis Kullu bid’atin dhalalatun itu ada tambahannya iaitu: wa kullu dhalalatin finnar.

Kalau kata kullu dalam hadis diertikan sebahagian, maka tambahannya juga akan bererti sebahagian: “Sebahagian bidaah itu sesat dan sebahagian kesesatan di dalam neraka.” Apakah ada sebahagian kesesatan itu tidak dalam neraka? Adakah sebahagian kesesatan itu di dalam syurga?

Posted in Pelbagai | Di tag: , , , , , | Leave a Comment »

Maksud bidaah

Posted by admin di 4 Jun 2008

Maksud bidaah

Dari segi lughat/lughah/bahasa Dari segi syarak/syara’
  • Segala sesuatu yang diadakan
  • Tambahan baru
  • Segala sesuatu yang diadakan bercorak keagamaan yang tidak ada contoh dari Nabi s.a.w dan sahabatnya.
  • Ibadah yang direka atau ditambah untuk mendapat pahala lebih atau mendekatkan diri kepada Allah.
  • Sesuatu yang baru dalam agama yang telah sempurna. “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu.” (Surah Al-Maidah:3)
  • Dipandang indah dan baik
  • Menyerupai syariat
  • Bersangkut-paut dengan agama
  • Belum ditetap Allah dan Nabi s.a.w
  • Penambahan atau pengurangan yang dipandang agama
  • Tidak dapat difikir tujuannya

Perbezaan adat dan ibadah

Adat Ibadah
  • Asal hukum adat itu harus
  • Asal hukum adat itu sah hingga datang dalil yang mengharamkannya
  • Dalil: “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu.”(H.R. Muslim)
  • Asal hukum ibadah itu menunggu perintah dan mengikut
  • Asal hukum ibadah adalah batal hingga datang dalil yang memerintahkan
  • Dalil: “Apakah bagi merka ada beberapa sekutu yang membuat syariat dalam hal agama yang tidak diizinkan Allah? (Surah As – Syura : 21 ) “Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan agama kami ini apa-apa selain daripadanya, maka ia tertolak.(H.R. Bukhari)

Contoh-contoh bidaah

Lughat/lughah/bahasa Syarak/syara’
  • Menggunakan mikrofon dalam solat atau azan. Pada zaman Nabi tiada, adakah bidaah? Jika orang bertanya mengenai mikrofon kita dapat menjawab tujuannya untuk menjelaskan suara kepada orang ramai.Inilah maslahat mursalah.
  • Pesta bunga api sempena tahun baru.Adakah ini ibadah.Ya, jika kepercayaan kita bunga api boleh menghalau hantu dan syaitan, jika tidak tiada masalah.
  • Menunggang motosikal. Adapun pada zaman Nabi s.a.w menunggang unta, tetapi itu hanyalah adat pada zaman itu. Sebelum Nabi lahir memang orang menunggang unta, adakah mereka sebelum Nabi mengikut sunnah?
  • Maulid Nabi s.a.w atau Hari Jadi Nabi s.a.w. Adakah anda mengikut sunnah Abu Talib menyambut Hari kelahiran Nabi s.a.w? Nabi s.a.w tidak pernah menganjurkannya!
  • Solat Raghaib (solat 12 rakaat pada malam Jumaat yang pertama dalam bulan Rejab dengan cara-cara tertentu). Jika dilihat dari satu sudut,mengerjakan solat ini kelihatan mengikut sunnah kerana solat merupakan perbuatan yang baik dan diperintahkan oleh agama. Tetapi, jika dilihat dari sudut lain, jelas bidaahnya kerana tidak pernah diperintahkan atau dicontohkan oleh Nabi s.a.w.
  • Mempelai lelaki yang aqad nikah di depan imam disuruh mengucap 2 kalimah syahadah sambil berjabat tangan. Pada asalnya mengucapkannya memang baik, tetapi jika diucapkan dengan cara-cara tersebut sehingga dipandang agama dan orang ramai memandangnya sebagai satu ketentuan dari syariat, padahal bukan dari perintah agama, maka perbuatan tersebut menjadi bidaah.

Posted in Pelbagai | Di tag: , , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

Pengenalan Persoalan Bidaah

Posted by admin di 28 Mei 2008

Laman web rasmi blog ini ialah:

www.bidaah.tk

Sebelum saya menceritakan lebih lanjut mengenai bidaah,saya akan membuat pengenalan supaya pembaca mudah memahami persoalan bidaah.

Sejarah Islam telah membuktikan kewujudan dua golongan ini:

Pertama: Abu Talib yang merupakan bapa saudara Rasulullah saw adalah antara mereka yang paling mencintai Muhammad saw . Abu Talib pernah memelihara Nabi saw setelah kematian ibu bapa Baginda saw. Dialah juga antara peribadi penting yang telah mempertahankan Baginda saw daripada ancaman kafir Quraish semasa menyebarkan dakwah Islam. Namun, sayang sekali, walau begitu tinggi kasih sayang Abu Talib kepada anak saudaranya, namun beliau tidak diiringi dengan mengikuti ajaran yang dibawa olehnya. Maka natijahnya, Abu Talib tetap termasuk di dalam golongan mereka yang tidak beriman.

Kedua: Abdullah bin Ubai bin Salul yang merupakan ketua golongan munafiq. Secara zahir, dia adalah pengikut Nabi saw. Namun, ikutannya ini tidak disertai dengan perasaan kasih dan sayang kepada Baginda saw. Sebaliknya mempunyai muslihat jahat dalam menghancurkan dakwah Nabi saw. Tindakan munafiq ini adalah natijah daripada tiadanya perasaan kasih sayang di dalam diri terhadap Rasulullah saw.

Kesimpulan:

  • Cinta akan Nabi s.a.w. tetapi tidak ikut, tidak selamat.
  • Ikut Nabi s.a.w. tapi tidak mencintainya, tidak selamat.

Dalam beragama, bukan setakat ulama dan ustaz yang hendak, paderi dan sami pun hendak beragama. Syurga, bukan setakat ulama dan ustaz yang hendak, paderi dan sami pun hendak masuk syurga.Kita tanya paderi dan sami: “Mengapa tidak kahwin,bertaba dan tidak makan macam orang lain?” Adakah mereka jawab: “Saja buat nak masuk neraka.” Mereka tidak mungkin kata begitu.Kita lihat mereka ikhlas dalam beribadat, mengapa mereka tidak benar?

Kesimpulan:

Ikhlas tidak cukup dalam agama,kita mestilah berpandukan al-Quran dan hadis.Jika tidak jadi macam paderi dan sami tadi.

Kita selalu mendakwa orang barat hidup untuk seks saja.Namun mereka juga menggantung salib di leher dan masih menyebut “Oh,my God!”. Ada seorang yang seumur hidup tidak pernah solat.Satu hari doktor mengesahkan tidak ada cara lagi nak menyembuhkan penyakitnya.Sah,dia akan pergi masjid jumpa imam suruh mengajarnya cara solat Nabi s.a.w . Dalam sejarah, tentera Abrahah menyerang Mekah,orang Quraisy pula lari ke atas bukit kerana mereka percaya Tuhan akan turun bala.Mereka tidak kata tok nenek mereka selamatkan Mekah.Nama bapa Nabi ialah Abdullah. Jika Nabi s.a.w kempen percaya Tuhan sudah tentu mereka akan kata adakah sebelum ini kami kata tidak percaya Tuhan? Contoh lain,lelaki cinta perempuan,adakah perlu kita pupuk kepada lelaki cintatilah perempuan? Mungkin perlu bagi sesetengah orang tapi fitrah lelaki suka kepada perempuan dan tidak perlu dipupuk lagi.

Kesimpulan:

Fitrah manusia percaya kepada Tuhan.Allah sudah campak dalam setiap manusia kepercayaan kepada Tuhan.

Bagaimana agama boleh datang kepada orang asli? Kita andaikan begini:

Dalam banyak orang asli,adalah seorang yang cerdik sedikit dari yang lain. Suatu hari dia menyeru kepada kaumnya supaya percaya kepada Tuhan yang pada-Nya kita bergantung. Orang ramai pula mula menyatakan mereka percaya kepada Tuhan tetapi mereka ingin mengetahui bagaimana rupa Tuhan.wahyu tidak datang kepada orang cerdik tadi,terpaksalah dia mereka Tuhan.jika hendak mencipta rupa Tuhan mesti bagi mereka takut,mulalah dia mengukir rupa dengan mata terbeliak dan ada siung.

Apabila beberapa kali dia membawa patung tersebut,orang mula bertanya bagaimana hendak mendekatkan diri dengan Tuhan dan bagaimana hendak membuat Tuhan suka kepada kita? Wahyu tidak sampai kepada orang cerdik pandai tadi,terpaksalah dia mencipta ibadat kepada Tuhan. Dia mula menyuruh mereka menghangguk kepala, menari mengelilingi api dan lain-lain. Dia tidak untung apa-apa,oleh itu dia menyuruh membawa sedikit buah-buahan dan makanan supaya dia boleh makan.

Kesimpulan:

  • Jangan cerita sifat Tuhan tanpa al-Quran dan hadis.
  • Jangan ceritan hal ibadah tanpa al-Quran dan hadis.

“Memanglah hal ini Nabi s.a.w tidak buat, tetapi baik.”

Kalau hendak cerita bab membuat baik, sahabat lebih hebat dari kita. Nabi tanya siapa yang berperang hari ini masuk syurga,sahabat yang sedang makan kurma kata: “setengah kurma ini aku makan dalam syurga.” Tiba-tiba kita mendakwa ada amalan yang sahabat tidak boleh buat, kita lebih dari sahabat seolah-olah cerdik kita dari sahabat Nabi s.a.w.

Kesimpulan:

Mencipta suatu ibadah baru menyebabkan kita lebih sempurna dari sahabat dan apa-apa ibadah yang Nabi s.a.w anjurkan pada zamannya tidak cukup seolah-olah kita menyempurnakannya.

“Bukan kami saja yang buat ibadah ini, ulama buat dan orang ramai pun buat, adakah mereka tidak mengetahui?”

Ulama-ulama dan ustaz bukannya maksum macam Nabi s.a.w. dan mereka tidak terlepas dari kesilapan. Bukan semua hadis terkumpul pada zamannya.Jika mereka silap,kita mohon keampunan,bukan mereka sahaja hendak buat silap,Allah akan menghitung amalannya nanti.

Kesimpulan:

Manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan.Kita tidak perlu mengikut kesalahannya.

Posted in Pelbagai | Di tag: , , , , , , , , , , | Leave a Comment »