Bidaah/bid’ah/bidah/antibidaah

Bidaah/bid’ah/bidah/antibidaah (Sederhana dalam ibadah lebih baik daripada bersungguh-sungguh dalam bidaah)

Bantahan pembahagian

Bantahan pembahagian bidaah

“Segala perbuatan yang diada-adakan di masa sesudah Nabi s.a.w, samada yang ada dalilnya mahupun yang tidak ada dalilnya, dinamakan bidaah. Yang ada dalilnya mereka namakan bidaah hasanah, dan yang tidak ada dalilnya mereka namakan bidaah sayyiah atau bidaah qabihah.”

Pembahagian bidaah menjadi lima bahagian hukum syarak iaitu wajib, sunat, mubah, haram dan makruh. Jika ada suatu bidaah termasuk dalam kaedah wajib dinamakan bidaah wajib, jika ada suatu bidaah termasuk dalam kaedah mandub, dinamakan bidaah yang mandub, jika ada suatu bidaah termasuk dalam kaedah mubah, dinamakan bidaah yang mubah, jika ada suatu bidaah termasuk dalam kaedah haram, dinamakan bidaah yang haram, jika ada suatu bidaah termasuk dalam kaedah makruh, dinamakan bidaah yang makruh.

Pembahagian bidaah menjadi lima bahagian sebagaimana hukum syarak itu tidak ada dalilnya sedikitpun dari syarak. Jika bidaah dalam agama itu seperti hukum syarak, bererti bidaah itu mempunyai ketentuan hukum dan tiap-tiap yang mempunyai ketentuan hukum bukan bidaah lagi namanya. Pengumpulan bidaah adalah dua perkara yang bertentangan antara yang satu dengan yang lain.

Bantahan pembahagian bidaah wajibah

Perbuatan yang dikehendaki itu adalah maslahat mursalah. Contohnya pengumpulan ayat-ayat al-Quran dan membukukannya menjadi sebuah mushaf, mewajibkan seluruh umat Islam supaya mengikut mushaf Al-imam, menyatukan pelbagai bacaan al-Quran agar tidak ada perselisihan lagi bagi umat Islam tentang bacaan dan juga termasuk urusan yang diperintahkan oleh agama dan sudah termasuk urusan yang dihukumkan wajib.

Pada zaman Nabi s.a.w, umat Islam telah diperintahkan agar mencatit, menulis ayat-ayat al-Quran dan Nabi s.a.w juga pernah memerintahkan supaya menuliskan sabdanya dan pernah pula baginda memerintahkan supaya orang yang mendengar sabda-sabdanya menyampaikannya kepada orang ramai yang tidak mendengarnya. Oleh itu, jelaslah bahawa tentang memelihara ayat-ayat al-Quran dan sebagainya itu telah diperintahkan oleh Nabi s.a.w, demikian pula mempelajari ilmu-ilmu bahasa Arab juga sudah termasuk perbuatan yang diperintahkan oleh Nabi s.a.w bukanlah menjadi perkara bidaah.

Bantahan pembahagian bidaah mandubah

Solat tarawikh pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan berjemaah bukanlah perkara bidaah tetapi sunnah kerana pernah dikerjakan oleh Nabi s.a.w. Baginda sendiri menjadi imam semasa itu dan para sahabat mengikut di belakang baginda. Baginda mengerjakannya tiga atau empat malam kerana bimbang sekiranya perbuatan tersebut diwajibkan oleh Allah kepada seluruh umat. Oleh itu, jelaslah bahawa solat tarawikh berjemaah di dalam masjid itu sunnah bukan bidaah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a.

Adapun Umar ra. ketika menganjurkan solat tarawikh berjemaah beliau berkata: “Sebagus-bagus bidaah itu ialah ini” adalah perkataan bidaah menurut bahasa bukan syarak. Oleh sebab sunnah ini telah lama ditinggalkan, beliau menyebutnya bidaah bermaksud menghidupkan semula sunnah yang sudah lama ditinggalkan. Solat tarawikh berjemaah itu telah disepakati pula oleh para sahabat Nabi s.a.w yang masih hidup pada masa itu bahkan sangat dipuji oleh para sahabat besar pada masa itu contohnya Ali ra. Pada hakikatnya, segala sesuatu yang dianjurkan oleh para sahabat Nabi s.a.w terutama para khalifah yang empat (Khulafa ar-Rasyidin) juga termasuk sunnah yang diperintahkan oleh Nabi s.a.w supaya kita mengikutinya.

Bantahan pembahagian bidaah mubahah

Makan di atas meja, makan dengan duduk di atas kerusi, makan dengan garpu dan sudu adalah mubah atau harus yang boleh dikerjakan dan boleh ditinggalkan. Jika sampai melebihi batas ketika makan, minum dan berpakaian mempunyai hukum yang melarang daripada melampaui batas.

Bantahan pembahagian bidaah muharramah dan

Bantahan pembahagian bidaah makruhah

Melantik atau menetapkan orang bodoh menjadi ketua agama, melantik orang yang kurang pemahaman tentang urusan hukum-hukum Rasul-Nya sebagai imam solat sedangkan ada orang yang lebih baik daripadanya. Maka, perbuatan tersebut jelas melanggar kaedah-kaedah agama yang sudah ada nasnya adalah termasuk perbuatan haram. Menentukan hari-hari tertentu dan lain-lain lagi dengan sesuatu jenis ibadah, mengadakan syariat agama menurut kemahuan sendiri adalah dilarang oleh syariat. Tiada sesiapa pun yang dibolehkan untuk mengadakan satu bentuk ibadah pada waktu tertentu atau mengadakan syiar agama menurut kemampuan sendiri. Perbuatan tersebut termasuk perbuatan yang dilarang dan orang yang mengerjakannya adalah bidaah. Bidaah yang dilarang dalam urusan agama ialah yang berkenaan urusan ‘aqaid dan ibadah.

Bantahan pembahagian bidaah hasanah

Penghujah bidaah hasanah

Hadis yang bermaksud: “Setiap bidaah itu sesat kecuali bidaah di dalam urusan beribadat.”

Bantahan bidaah hasanah

Hadis itu tidak termaktub dalam kitab-kitab hadis muktabar dan bertentangan pula dengan hadis sahih. Dalam isnadnya terdapat pendusta yang dilemahkan oleh ahli hadis dan hadis itu adalah palsu.

Penghujah bidaah hasanah

Hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengada-adakan satu cara yang baik di dalam Islam maka dia akan mendapat pahala orang yang turut mengerjakannya dengan tidak kurang sedikitpun dari pahala mereka itu dan barangsiapa yang mengadakan satu cara yang buruk, maka dia akan mendapat dosa dan orang yang turut mengerjakannya dengan tidak kurang sedikitpun dari dosa mereka itu.”

Bantahan bidaah hasanah

Pada satu pagi, para sahabat sedang berada di hadapan Rasulullah s.a.w. lalu datang serombongan manusia dengan telanjang serta memakai kain selimut yang bercorak dan berbaju panjang seraya berselimpang dengan pedang. Mereka adalah dari golongan Mudhar. Setelah Nabi s.a.w melihat mereka itu, maka pucatlah wajah baginda kerana melihat kesengsaraan mereka. Kemudian baginda masuk ke dalam rumah dan menyuruh Bilal supaya azan. Lantas Bilal pun azan dan beriqamat. Kemudian baginda sembahyang dan berkhutbah, sabda baginda:

‘Wahai manusia! Takutlah kamu kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu daripada jiwa yang satu, telah diciptakan ke atasnya jodoh, dan Ia telah mengembangkan daripada keduanya (jodoh) kepada beberapa kaum lelaki dan perempuan. Takutlah kamu kepada Allah, yang kamu meminta-minta dengan nama-Nya dan peliharalah keluarga-keluargamu kerana sesungguhnya Allah itu Pengawasmu.”

“Hai orang-orang yang telah beriman! Takutlah kamu kepada Allah dan hendaklah di antara kamu masing-masing memerhatikan apa-apa untuk esok.”

Sesudah itu ada orang ramai bersedekah dari dinarnya, dari dirhamnya, dari pakaiannya, satu sya’ dari gandumnya, satu sa’ dari buah-buahannya, sehingga baginda bersabda: “Sekalipun separuh dari sebutir kurmanya.” Lalu datang seorang lelaki dari golongan Ansar dengan membawa seguni beras, sehingga dua tapak tangannya hampir tidak boleh dibawanya dan tidak sanggup membawanya.

Kemudian banyak orang bergilir-gilir bersedekah kepada mereka sehingga nampak di wajah Rasulullah s.a.w. amat bercahaya kerana sungguh gembira. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang mengada-adakan satu cara yang baik di dalam Islam maka dia akan mendapat pahala dan pahala orang-orang yang mengerjakannya tidak kurang sedikitpun Barangsiapa yang mengadakan satu cara yang buruk, maka dia akan mendapat dosa dan dosa-dosa orang yang mengerjakannya dengan tidak kurang sedikitpun.”

Hadis tersebut pada mulanya jelas mengenai urusan keduniaan, mengenai urusan pertolongan yang diberi kepada orang yang menderita dan sengsara. Amalan bersedekah ini memang dituntut, bukannya mereka membuat sunnah sendiri.

Penghujah bidaah hasanah

Hadis yang bermaksud: “Apa-apa yang telah dipandang baik oleh orang Islam, maka ia baik di sisi Allah”

Bantahan bidaah hasanah

Hadis tersebut bukan hadis Nabi s.a.w, tetapi dari perkataan Ibnu Mas’ud ra. atau dari perkataan Ibnu Abbas ra.

Rangkaian atsar tersebut ada sambungannya:

“Sesungguhnya Allah telah memeriksa hati-hati para hamba, maka Dia telah memilih –dalam antara mereka – Muhammad, lalu Dia membangkitkan dia dengan risalah-Nya. Kemudian Allah memeriksa hati-hati para hamba, maka Dia telah memilih padanya (Muhammad) itu beberapa orang sahabat, lalu Dia menjadikannya beberapa wazir padanya. Maka apa-apa yang orang-orang Islam memandang baik, maka baiklah di sisi Allah, dan apa-apa yang orang-orang Islam memandang buruk, maka buruklah di sisi Allah.”

Kata Muslimin di dalam hadis itu tidak dipakai untuk seluruh umat Islam. Tetapi apa yang dimaksudkan dengan kata Muslim dalam hadis itu hanyalah para sahabat saja. Perlu diertikan begini:

“Segala sesuatu yang telah dipandang baik oleh para sahabat, maka Allah juga memandang baik, dan segala sesuatu yang dipandang buruk oleh para sahabat, maka Allah juga memandang buruk.”

Jika tidak diertikan begitu akan bertentangan dengan hadis yang menerangkan bahawa umat Islam akan berpecah-belah menjadi tujuh puluh tiga golongan.

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya”.

Penghujah bidaah hasanah

Pada zaman sahabat Nabi s.a.w telah terjadi satu bidaah di dalam urusan beribadat iaitu bertarawikh pada setiap malam bulan Ramadhan dengan berjemaah dan dengan seorang imam di dalam sebuah masjid yang telah dianjurkan oleh Umar Ibnu Al-Khattab r.a. Perbuatan itu dinyatakan oleh beliau sendiri:

“Sebaik-baik bidaah ialah ini.”

Ketika itu semua sahabat Nabi s.a.w yang masih hidup tidak ada seorang daripada mereka yang membantah. Andaikata bidaah di dalam urusan beribadat itu dilarang dan dikatakan semuanya sesat, nescaya Umar tidak akan mengadakan solat tarawikh dengan berjemaah di masjid dan ketika itu sudah tentu ditegur oleh para sahabat yang lain.

Bantahan bidaah hasanah

Ini bukanlah bidaah tetapi sunnah yang pernah dikerjakan oleh Nabi s.a.w dan diikuti oleh para sahabatnya. Nabi bimbang bahawa solat tarawikh diwajibkan atas umatnya, maka baginda tidak meneruskan perbuatan menjemaahkan solat terawikh tersebut.

Apabila Nabi s.a.w. telah wafat, maka para sahabat mengulangi apa yang pernah dikerjakan pada zaman Nabi s.a.w. Kemudian, pada masa Khalifah Abu Bakar ra. belum timbul kemahuan menggerakkan kembali solat terawikh secara berjemaah. Mungkin pada masa itu beliau dan seluruh umat Islam sedang sibuk memerangi kaum murtad dan mungkin ada beberapa urusan lain yang harus diselesaikan dulu. Kemudian, pada masa Khalifah Umar bin Khattab ra. barulah beliau teringat kebaikan menjemaahkan solat tarawikh kembali sebagaimana dikerjakan pada zaman Nabi s.a.w. Perkataan: “Sebaik-baik bidaah ialah ini” bermaksud dari segi bahasa dan bermaksud menghidupkan kembali sunnah yang ditinggalkan.

Penghujah bidaah hasanah

Pada zaman Nabi s.a.w azan hari Jumaat hanya dilakukan sekali sahaja dan dilaungkan di ambang pintu masjid. Pada waktu itu imam sudah duduk di atas mimbar. Keadaan begini berlaku sehingga pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar. Kemudian setelah jatuh ke tangan pemerintahkan supaya ditambah, dilakukan dan dilaungkan di Zaura’ (sebuah tempat di tengah-tengah pasar kota Madinah dan sebuah rumah yang dikatakan demikian). Tindakan demikian diakui dan dibenarkan oleh semua sahabat Nabi di kota itu. Andaikata ia tidak diakui kebaikannya, sudah tentu tindakan Khalifah Uthman itu ditegur dan dibantah oleh para sahabat besar ketika itu.

Bantahan bidaah hasanah

Azan yang diperintahkan oleh Khalifah Uthman itu tidak keluar dari yang dimaksudkan oleh syarak dari azan itu iaitu untuk memberitahu telah dekatnya waktu solat.

· Pada zaman Nabi s.a.w, zaman Khalifah Abu Bakar dan di zaman Khalifah Umar, hari Jumaat itu dimulakan dan dilakukan ketika imam telah duduk di atas mimbar.

· Seruan hari Jumaat yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w sehingga pada zaman Umar itu hanya dua iaitu azan tadi dan iqamat sesudah imam selesai berkhutbah.

· Biasanya Bilal azan pada hari Jumaat dengan berdiri di atas pintu masjid.

· Sesudah imam selesai berkhutbah dan turun dari mimbar barulah Bilal beriqamat.

Kemudian, pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, azan pada hari Jumaat itu ditambah iaitu azan dan qamat yang berlaku di zaman Nabi sehingga pada zaman Umar itu tetap berlaku, tetapi dengan tambahan satu azan lagi yang dilakukan di atas satu tempat yang dinamakan Zaura’ dekat pasar Madinah dan cara melakukannya sebelum azan yang berlaku di zaman Nabi tadi. Maka dalam kitab-kitab hadis biasanya dikatakan bahawa azan yang ketiga atau seruan yang ketiga.

Tindakan Khalifah Uthman mengadakan azan itu tidak boleh dikatakan satu perbuatan bidaah dalam urusan ibadah kerana semasa itu beliau memandang perlunya diadakan azan pada hari Jumaat di atas Zaura’ untuk menarik minat dan perhatian orang ramai yang ada di pasar agar segera pergi ke masjid. Dalam pada itu, beliau tidak mengubah lafaz-lafaz azan dan bukan pula azan itu untuk sesuatu tujuan yang tidak dimaksudkan oleh syara’. Oleh itu, tidak boleh dikatakan azan yang beliau kerjakan itu suatu perbuatan bidaah dalam ijtihad yang dilakukan oleh seseorang khalifah dan beliau termasuk daripada salah seorang Khulafa Ar-Rasyidin, padahal Nabi s.a.w memerintahkan kita agar mengikut sunnah para Khulafa Ar-Rasyidin.

Meskipun begitu, menurut suatu riwayat yang tidak dikenalpasti dari Ibnu Umar:

“Azan yang pertama pada hari Jumaat itu bidaah.”

Jika perkataan ini benar, bererti tambahan azan itu tidak dipersetujui sahabat Nabi. Imam ‘Atha sendiri mengingkari azan tambahan pada hari Jumaat itu diadakan oleh Uthman. Dia mengatakan bahawa yang mengadakannya ialah Muawiyah. Oleh itu, imam As-Syafie berkata dalam kitabnya Al-Umm:

“Dan mana di antara keduanya yang ada, maka urusan yang terjadi pada masa Rasulullah s.a.w. itu yang lebih aku sukai.”

Perkataan imam as-Syafie lebih megandungi erti bahawa dalam urusan ibadah tidak ada bidaah hasanah.

Penghujah bidaah hasanah

Dengan keterangan tadi, jelaslah yang dikehendaki oleh hadis Nabi s.a.w, “Setiap bidaah itu sesat,” tidak bersifat umum. Kata kullu di sini bererti sebahagian, “Sebahagian bidaah itu sesat.”

Bantahan bidaah hasanah

Hadis Kullu bid’atin dhalalatun itu ada tambahannya iaitu: wa kullu dhalalatin finnar.

Kalau kata kullu dalam hadis diertikan sebahagian, maka tambahannya juga akan bererti sebahagian: “Sebahagian bidaah itu sesat dan sebahagian kesesatan di dalam neraka.” Apakah ada sebahagian kesesatan itu tidak dalam neraka? Adakah sebahagian kesesatan itu di dalam syurga?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: